Luahan Seorang Ibu Pelajar OKU?

Hari ini terkasima dengan luahan seorang ibu yang mempunyai anak orang kelainan upaya (OKU) yang dilayan secara tidak adil oleh segelintir guru. Sepatutnya sebagai seorang pendidik, guru perlulah menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada masyarakat umum apatah lagi pelajar itu adalah seorang OKU.

Di negara barat, majoriti rakyat mereka bukan beragama Islam tetapi adab mereka terhadap orang OKU adalah tinggi. Tiada pandangan negatif terhadap orang OKU. Berbeza dengan masyarakat kita. Jauh berbeza. Hina Sangat Ke Pelajar OKU? Jom baca luahan seorang ibu yang mempunyai anak OKU. Baca dan nilailah sendiri.



Surat buat kamu yang pasti tau siapa kamu.

Assalamualaikum cikgu-cikgu dan anak-anak sekalian,

Semoga hidup kalian tenang selalu. Syukur...kalian tak perlu ambil ubat seperti anak saya supaya dapat hidup dengan tenang. Dia kini positif depression.


Anak saya yang selama ini menyakitkan hati kamu kerana dapat anugerah, pingat, hadiah kini tak ada lagi di kelas kamu. Kalau kamu semua nak tahu, kami ibu bapanya sangat bangga dengannya. Walaupun anugerah yang dia peroleh dengan gred yang tak A berderet seperti anak-anak di kelas pandai. Kami sangat bangga dan bersyukur. Biar aunty jawab soalan yang kamu semua tanyakan padanya berulang kali... Tidak. Aunty tak pernah rasa malu ada anak sepertinya. Tapi aunty malu dengannya kerana Aunty telah membiarkan dia berhadapan dengan kamu semua yang berfikiran cetek dengan akal yang tak sepanjang mana menuduh dia memalukan keluarga. Sedangkan setiap hari aunty mengingatkan dia, betapa dia beruntung kerana punyai kawan-kawan dikalangan orang yang dikurniakan Allah sebagai manusia normal yang sempurna. Yang otaknya tidak ada cacat cela sepertinya. Sesungguhnya Aunty merasakan yang aunty telah menganiya dia. Kerana kamu semua tak begitu manusianya.

Kamu pulaukan dia. Kamu tidak menjawab pertanyaannya. Kamu tak mahu dia dalam kumpulan tugasan kamu. Kamu fitnah dia tak buat kerja. Kamu panggil dia kolot. Kamu ejek kemenjadian dia. Kamu panggil dia dengan panggilan yang menghinakannya. Malah ada di antara kamu yang pernah menyarankan supaya dia bunuh saja dirinya yang tak berguna itu. Dan dia telah bertahan dengan orang-orang seperti kamu bertahun-tahun lamanya!

Tahukah ibu bapa kamu tentang sikap kamu ini? Setujukah mereka dengan cara pemikiran kamu ini? Tahukah kamu ada sebuah surah dalam Al-Quran yang diturunkan untuk menegur Nabi junjungan yang memalingkan wajahnya dari seorang OKU yang mendekatinya? Kalau Nabi Muhammad pun ditegur.. Siapa kamu untuk tidak boleh ditegur? Buat malu ibu ayah saja! Kamu telah menjadi sebahagian dari sebab dia dimarahi cikgu. Kena pula pada cikgu yang memang berfikiran kolot seperti kamu, tambah benci cikgu itu pada anak aunty yang tak sesempurna kamu. Tergamak kamu lakukan begitu kepada orang yang tak berdaya mempertahankan dirinya kerana kamu telah menggunakan kelemahan dirinya sebagai senjata terhadap dirinya sendiri ya?

Duhai cikgu-cikgu yang selama ini saya hormati seadilnya,

Saya sedar siapa anak saya. Malah saya lebih kenal dia dari sekalian kamu semua. Saya tahu semua kelemahan dirinya justeru saya hanya diam bila kamu mengeluh tentang perihalnya. Tidak pernah kalian saya usik sehingga menyebabkan karier kalian mendapat kesusahan. Tapi kalian hari ini telah menjadi salah satu sebab kemusnahan mental anak saya. Saya mahu tanya kalian cikgu-cikgu sekalian...cikgu ada anak?

Beritahu saya, masih kasihkah cikgu kepada anak cikgu jika tiba-tiba Allah ambil semula tangan yang selama ini dipinjamkan kepada anak cikgu? Adakah cikgu akan menghalangnya dari ke sekolah hanya kerana dia tak punya sebelah tangan dan tak boleh menulis dengan baik menggunakan sebelah lagi tangan yang tinggal di tubuhnya? Tunjukkan kepada saya, dimana kesilapan saya menghantarnya ke sekolah dimana cikgu mengajar setiap hari? Silapkah saya percayakan cikgu yang bukan saja seorang yang professional dalam bidang itu, malah juga seorang ibu dan hamba kepada Tuhan yang satu seperti saya?

Mengapa cikgu persoalkan kewujudan anak saya dikelas itu? Mengapa cikgu sarankan kepadanya berulang kali supaya dia turun ke pendidikan khas, belajar dengan 'budak-budak macam itu'?. Mengapa cikgu desak, ugut, bentak dia sedangkan cikgu tau dia tak seperti pelajar cikgu yang lain?

Saya cuma minta cikgu bertolak ansur dengan kekuranganya, cikgu tanya saya apa yang cikgu kena jawab pada pelajar lain kalau mereka persoalkan tindakan tolak ansur cikgu itu? Mengapa perlu tanya saya? Sayakah atau cikgukah yang memegang tanggungjawab sebagai pendidik disitu? Cikgu tanya saya lagi, benarkah prestasi pelajar OKU tak jejaskan KPI sekolah? Mengapa tanya saya? Bukankah itu tugas seorang pekerja bawahan untuk ambil tahu semua perkara yang berkenaan dengan professionnya? Cikgu tanpa ihsan menambah beban jiwa anak saya hanya kerana diwajahnya tiada riak terkesan dengan sebarang kata-kata yang cikgu lontarkan. Cikgu kata cikgu faham tapi perlakuan tak seperti yang cikgu katakan. 'Cikgu kencing berdiri, murid kencing berlari'. Kualiti mentaliti pelajar adalah seperti guru yang mendidiknya. Tahulah saya kini mengapa begitu hina perlakuan pelajar-pelajar cikgu terhadap orang yang lebih lemah darinya.

Cikgu, biar saya jawab ugutan cikgu kepada anak saya baru-baru ini. Biar sudah berpuluh tahun lamanya cikgu telah bekerja selama ini tanpa mendapat 'susah', itu adalah kerana hari ini baru sampai di hujungnya. Kerana kali ini cikgu sudah cuit seorang anak yang dah sahih ada kad OKU. Saya pasti cikgu faham hakikat ini yang mudah difahami oleh orang yang tak ada kad OKU. Saya ucapkan tahniah kerana cikgu mahir dalam ilmu sehingga mampu jadi guru mengajar anak-anak murid cikgu jadi pakar matematik macam cikgunya juga. Semoga cikgu dan seluruh keturunan cikgu sehingga yang 1000 tahun lagi tak akan hilang upaya membilang seperti kami yang lain upayanya. Nah, saya sudah mengucapkannya. Inilah padahnya jika diganggu ibu sang singa.

Saya ingin tanya juga kepada orang-orang di Kementerian yang tinggi nun di sana. Yang meluluskan dasar yang cantik berseri di dada kertas. Pernah lihat realiti aplikasinya? Ada pengalaman mengalaminya tanpa memperkenalkan diri sebagai 'orang kementerian'? Adakah anak OKU masalah pembelajaran sebenarnya diberikan diagnosis 'sudah sembuh dari masalah pembelajaran' oleh pihak kementerian apabila dia didapati layak mengikuti program inklusif? Saya mahu tahu kriteria kelayakan seorang Guru Hal Ehwal Murid di sekolah-sekolah. Adakah HEM ini hanya perlu fasih mengendalikan hal ehwal murid normal sahaja tanpa perlu ada kesedaran dan pengetahuan yang tinggi untuk mengendalikan pelajar OKU, apalagi jika terdapat PPKI disekolah itu? Jika ya..mengapa tiada jawatan HEM Pendidikan Khas di sekolah-sekolah untuk pelajar-pelajar OKU di sekolah pendidikan khas, program integrasi dan program inklusif?

Mengapa pelajar program inklusif dilepaskan secara total ditangan sebuah pengurusan dan sistem yang mempunyai tahap kesedaran dibawah tapak kaki dengan mentaliti zaman batu paleolitik? Mengapa anak-anak kami yang sudah sedia bermasalah sehingga layak mendapat status OKU dibiarkan sehingga terpaksa menambah diagnosis kemurungan kepada senarai kondisi masalah pembelajaran sedia ada hanya kerana ada sebilangan OKU dari kategori kami yang mampu? Apakah kalian cuba memberitahu kami yang anak-anak kami yang lain ini lebih layak tak berkelulusan tinggi seperti orang lain?

Screw You!

Saya harap, setiap kali jiwa anak saya terganggu kerana terkenangkan kalian Allah ambil binaan tempat tinggal tuan puan di syurga sebagai bayaran kepada anak saya. Saya doakan disetiap sujud kalian ada wajah anak saya sehingga kalian rasakan apa yang dia rasa. Saya doakan kalian rasa hancur hati saya kerana mempercayai kalian untuk mengambil keputusan yang kononnya terbaik untuk anak saya. Saya doakan setiap ubat yang perlu ditelan anak saya mulai hari ini turut terasa di laluan tekak kalian. Semoga Allah memberikan kalian kemudahan mencari saya sekeluarga untuk meraih kemaafan sebelum Allah menuntut janjinya dari kalian.

لَّا إِلَهَ إِلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ

Yang meracau, 
Mama jiwa kacau 💔

Kredit: Fb Aezza Masri

أحدث أقدم