Jurang Perbezaan Antara SK dan SJKC


Kita berada dalam satu negara yang sama. Pendidikan yang sama, silibus yang sama. Namun sangat besar perbezaan kemudahan di sekolah kebangsaan berbanding sjkc.

Di sjkc, kelas-kelas mereka berhawa dingin. Dilengkapi pula dengan smartboard seiring dengan kemajuan zaman. Malah ada sjkc yang punya lif. Ya tuan, lif pun ada.

Lebih menarik, hampir semua sjkc mempunyai dewan terbuka dan dewan tertutup.

Walau hujan, walau panas terik, aktiviti luar darjah dapat dilakukan kerana adanya dewan terbuka. PJK juga tidak perlu tunggu baiknya cuaca. Kerana sekolah mereka mempunya dewan terbuka yang selesa dan selamat untuk aktiviti tersebut.

Komuniti mereka sangat mengutamakan pendidikan anak-anak. Setiap sekolah, tuisyen berbayar itu menjadi kewajipan. Maka tidak hairanlah jika dalam pendidikan mereka maju ke depan.

Mereka langsung tidak berkira untuk mengeluarkan duit demi keselesaan anak mereka di sekolah.



Kenapa ada jurang yang besar antara SK dan SJKC?

Adakah kerana kerajaan pilih kasih? Adakah kerana kerajaan memanjakan mereka?

TIDAK!

Ini kesedaran kaum Cina itu sendiri. Ibu bapa mereka bersatu hati berganding bahu dengan pihak sekolah menyediakan segala yang terbaik demi pendidikan anak-anak.



Sedang masyarakat kita asyik merungut bila sekolah meminta sumbangan. Yuran PIBG yang tidak seberapa pun tak sampai 40% yang bayar. Habis tu macam mana SK nak menandingi SJKC?

Pernah aku lihat dengan mata kepala aku, sebuah sekolah kebangsaan bumbungnya tercabut akibat ribut kuat.

PIBG tak mampu nak baiki kerana kekurangan dana. Maka terpaksa mohon melalui jabatan melalui banyak prosedur yang menyusahkan.

Berminggu-minggu bumbung sekolah tersebut rosak. Sehingga kelas di tingkat atas tidak boleh digunakan. Elektrik satu block 'tendang', bahkan dalam mentol lampu pun dimasuki air kerana kebetulan masa itu musim hujan.

Pernah juga berlalu bumbung kantin di sebuah sekolah kebangsaan rosak teruk. Berbulan-bulan kantin terpaksa ditutup akibat ketiadaan dana untuk baiki.



Aku yakin dan percaya, jika kejadian yang sama berlaku pada SJKC, pada hari yang sama kerosakan akan dibaiki. Tak perlu tunggu minta dana kerajaan yang lambat dan tak perlu melalui prosedur yang menyusahkan.

Kerana PIBG mereka kuat!

Kerana dana PIBG mereka berjuta-juta!

Sudah sampai masanya kita tiru mereka. Jangan lagi berkira dengan pendidikan anak-anak kita. Berikan sokongan padu pada sekolah dan berganding bahulah dengan guru-guru demi kejayaan anak-anak.

Pendidikan dan ilmulah yang mengubah nasib diri, keluarga, kaum dan negara.

Jangan berkira dengan pelajaran anak-anak lagi ya. Kita tiru budaya kaum Cina yang bagus ini. Inilah antara hikmah perpaduan dan punya masyarakat berbilang kaum. :)

Mohd Fadli Salleh
#MFS
- Yang buruk kita elak, yang baik kita pakat tiru -
.
أحدث أقدم