Pelaksanaan DLP Perlu Dikaji Semula

Kerajaan diminta untuk mengkaji semula pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP) yang dilaksanakan sejak dua tahun lalu supaya kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar pendidikan dapat terus dipelihara.

Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PPPPPM), Datuk Abdul Raof Husin berkata, sehingga kini, kerajaan masih belum mengeluarkan apa-apa kenyataan berkenaan program yang mendapat tentangan banyak pihak ketika dilaksanakan dahulu.

“Pelaksanaan DLP yang menyerupai program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan meminggirkan nilai bahasa Melayu dalam pendidikan negara.

“Kami tiada masalah dan setuju dengan usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris tetapi kedudukan bahasa Melayu jangan digugat,” katanya dalam sidang akhbar selepas Seminar Pendidikan Ummah Nasional (SPUN) 2018 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE
Previous Post Next Post