10 Topik Sains Wajib Ulang Kaji


DIAM tidak diam, UPSR 2019 bakal menjelma sedikit masa lagi. Sudah pasti, murid memberikan komitmen dan fokus 100% persediaan bagi menghadapi ‘perang besar’ ini.

Berikut adalah cadangan 10 topik Sains wajib ulang kaji analisis daripada Guru Pakar Sains sekolah rendah, Cikgu Zazolnizam Zakaria. Mari kita perhalusi topik-topik wajib ulang kaji ini dengan lebih lanjut.

1. Magnet


Topik ini sangat popular dan kebanyakan set soalan percubaan peringkat negeri seluruh Malaysia mengandungi soalan daripada topik ini. Sebagai cadangan, mungkin murid boleh memberi penekanan kepada memberi definisi bahan magnet dan bahan bukan magnet. Melakar bentuk-bentuk magnet dan bahagian kutub magnet. Menyatakan tindakan magnet pada objek melalui penyiasatan. Mengelas dan memberi contoh bahan magnet dan bahan bukan magnet. Menyatakan kegunaan bahan magnet dalam kehidupan seharian. Murid juga mesti boleh membuat kesimpulan bahawa daya tarikan magnet lebih kuat pada bahagian kutub berbanding pada bahagian yang lain.

2. Proses Hidup Haiwan – Organ Pernafasan Haiwan


Saya berpendapat, topik ini mewakili keseluruhan konstruk yang boleh menguji tahap penguasaan murid secara minimum. Murid seharusnya dapat mengenal pasti organ pernafasan bagi haiwan-haiwan yang ditunjukkan melalui rajah ataupun petikan. Memadankan contoh haiwan dengan organ pernafasan dengan betul. Murid juga perlu menguasai kemahiran mengelas haiwan mengikut organ pernafasan yang diberikan. Mungkin boleh juga disoal tentang kemahiran murid menaakul mengenai haiwan yang mempunyai lebih daripada satu organ pernafasan serta contoh haiwan tersebut.

3. Sifat Bahan – Tahun Empat  


Topik ini memerlukan murid menguasai pengetahuan tentang sumber asas bahan ialah tumbuhan, haiwan, batuan dan petroleum. Murid juga perlu mengelaskan objek dengan menyatakan ciri yang digunakan dalam pengelasan tersebut berdasarkan rajah yang diberi atau penyiasatan yang dijalankan.

Boleh diuji kemahiran berfikir atas tinggi (KBAT) murid dengan soalan merekacipta objek atau model berdasar jenis bahan yang diberikan. Maka, lakaran murid mesti jelas seiring dengan label bahan yang digunakan.

4. Tumbuhan Melindungi Diri


Jika soalan daripada topik ini, murid di bandar akan mempunyai sedikit kelemahan untuk mengenal pasti jenis-jenis tumbuhan. Ciri-ciri tumbuhan melindungi diri seperti berduri (semalu dan kaktus), mempunyai getah (nangka dan keladi), bulu halus (buluh, tebu dan lalang), beracun (cendawan dan pong pong)  dan berbau (raflesia dan tembakau).

5. Tenaga


Menyatakan sumber tenaga seperti matahari, angin, air, ombak, makanan, bateri, biojisim, nuklear dan bahan api fosil. Murid perlu mahir menyatakan sumber tenaga dan bentuk tenaga yang dihasilkan. Murid sepatutnya mengetahui tentang bentuk-bentuk tenaga yang dihasilkan seperti tenaga suria, tenaga haba, tenaga kimia, tenaga elektrik, tenaga kinetik, tenaga bunyi, tenaga keupayaan, tenaga cahaya dan tenaga nuklear. Dapat menjelaskan perubahan bentuk tenaga dan menyatakan tenaga boleh berubah bentuk daripada satu bentuk ke bentuk yang lain.

Adalah penting murid dapat memberikan maksud sumber tenaga boleh baharu dan sumber tenaga tidak boleh baharu dengan tepat mengikut istilah daripada buku teks. Memberikan contoh sumber tenaga boleh baharu dan sumber tenaga tidak boleh baharu. Menyatakan sebab mengapa manusia perlu menggunakan sumber tenaga secara berhemah dan lestari.

6. Elektrik


Menyatakan contoh sumber yang menghasilkan tenaga elektrik. Melakar litar elektrik lengkap menggunakan sel kering, mentol, suis dan wayar penyambung dalam bentuk simbol. Membuat kesimpulan tentang nyalaan mentol bergantung kepada jenis litar. Menaakul penggunaan  litar selari ke arah penjimatan tenaga elektrik. Mendefinisi secara operasi tentang kecerahan mentol.

7. Mikroorganisma


Menyatakan mikroorganisma boleh dikelaskan kepada fungi, protozoa, alga, bakteria dan virus. Memerihalkan mikroorganisma menjalankan proses hidup iaitu bergerak, bernafas dan bertumbuh. Menyatakan maksud mikroorganisma dan menyatakan contoh-contoh  mikroorganisma mengikut jenis. Memberi inferens faktor (air, udara, suhu yang sesuai, nutrien dan keasidan yang sesuai) yang mempengaruhi pertumbuhan mikroorganisma. Memberi contoh kegunaan mikroorganisma dalam pelbagai bidang dan mikroorganisma yang berbahaya. Menyatakan langkah-langkah mencegah penyakit berjangkit.

8. Buruj


Memberikan definisi buruj. Mengenal pasti empat buruj utama dengan ciri-ciri buruj tersebut. Melakar bentuk buruj yang mudah dilihat. Menyatakan dua kegunaan buruj iaitu menunjuk arah dan menentukan musim menanam dan menuai.  Menyatakan buruj lain yang boleh dilihat di angkasa selain Belantik, Biduk, Pari dan Skorpio.

9. Teknologi – Kepentingan Teknologi dalam Kehidupan


Menyatakan manusia mempunyai had keupayaan. Menyatakan teknologi ialah alat untuk mengatasi had keupayaan manusia. Mengetahui urutan perkembangan teknologi dalam bidang pertanian, pengangkutan, pembinaan, komunikasi dan perubatan. Menerangkan sebab kepentingan penciptaan teknologi serta kebaikan dan keburukan teknologi.

10. Proses Hidup Tumbuhan – Proses Fotosintesis


Memberikan definisi proses fotosintesis ialah proses tumbuhan membuat makanan sendiri.  Menyatakan keperluan  tumbuhan untuk menjalankan proses fotosintesis iaitu karbon dioksida, air, cahaya matahari dan klorofil manakala hasil bagi proses tersebut ialah kanji dan oksigen. Memberi inferens tentang kepentingan fotosintesis terhadap hidupan lain.

Topik-topik di atas adalah ramalan Cikgu Zazolnizam berdasarkan analisis soalan-soalan lepas dengan topik-topik yang kemungkinan boleh diuji dalam Kertas 2.
Semoga dengan bimbingan ini dapat membantu murid membuat persediaan dan juga mengetahui huraian topik wajib ulang kaji 2019.

SELAMAT MAJU JAYA.

Sumber: Guru Pakar Sains, Cikgu Zazolnizam Zakaria (SK Permatang Tok Mahat, Pulau Pinang)

1 Comments

Previous Post Next Post