PdPR Diteruskan Sehingga 31 Ogos 2021

pdpr diteruskan


Mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19 serta perbincangan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ingin memaklumkan bahawa sesi persekolahan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan diteruskan sehingga 31 Ogos 2021. Ketetapan ini terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.


KPM sentiasa bekerjasama rapat dengan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi memastikan kadar vaksinasi dalam kalangan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan di sekolah dapat terus ditingkatkan. Sehingga 16 Julai 2021, seramai 253,366 orang guru dan pentadbir (61.30%) serta 10,876 orang kakitangan sokongan (46.33%) telah menerima sekurang-kurangnya 1 dos vaksin.


Mengambil kira kadar vaksinasi ini, KPM telah membuat ketetapan bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersemuka mulai 1 September 2021. 


Namun begitu, KPM akan terus mengambil kira penilaian risiko oleh KKM dan MKN bagi melihat sekiranya terdapat keperluan untuk membuat perubahan terhadap tarikh tersebut. Sebarang perubahan akan dimaklumkan lebih awal.


KPM akan memaklumkan perincian lanjut mengenai pembukaan sekolah bagi sesi PdP secara bersemuka selewat-lewatnya seminggu sebelum sekolah dibuka.


[Download] Kenyataan Media: Pemakluman Mengenai Sesi Persekolahan

Sumber: KPM

Previous Post Next Post