Keputusan SPM 2022 Pada 8 Jun 2023
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan rasmi menerusi laman webnya memaklumkan bahawa keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2022 akan dikeluarkan pada 8 Jun 2023 (Khamis).
Seramai 403,637 orang calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM Tahun 2022 di 3,355 buah pusat peperiksaan di seluruh negara dan seramai 131,318 petugas peperiksaan telah dilantik bagi keseluruhan peperiksaan ini.
Kaedah Semakan Keputusan SPM
Melalui sekolah dan pos
Calon sekolah boleh memperoleh keputusan peperiksaan SPM Tahun 2022 daripada sekolah masing-masing mulai pukul 10.00 pagi pada tarikh tersebut.
Bagi calon persendirian, keputusan peperiksaan akan dihantar melalui pos atau calon boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan.
Semak Secara Online
Calon sekolah dan calon persendirian juga boleh membuat semakan keputusan SPM 2022 secara dalam talian menerusi pautan myresultspm.moe.gov.my untuk mendapatkan slip keputusan peperiksaan SPM Tahun 2022 mulai pukul 10.00 pagi pada 8 Jun 2023 sehingga pukul 6.00 petang pada 14 Jun 2023; dan/atau
Sistem pesanan ringkas (SMS)
Calon lepasan SPM 2022 juga boleh mendapatkan keputusan berkenaan melalui SMS bagi mendapatkan ringkasan keputusan peperiksaan SPM Tahun 2022 dengan menaip SPM<jarak>NoKP<jarak>AngkaGiliran dan hantar ke 15888.
Sistem ini akan diaktifkan mulai pukul 10.00 pagi pada 8 Jun 2023 sehingga pukul 6.00 petang pada 14 Jun 2023.
Sumber: KPM
Post a Comment