pdp semasa sekolah dibuka

Berdasarkan Garis Panduan Pembukaan Semula Sekolah muka surat 13, Proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) akan berlaku dalam dua kaedah iaitu 
  1. PdP di sekolah 
  2. PdP di rumah. 
Murid yang dibenarkan hadir ke sekolah akan mengikuti PdP di sekolah, sementara murid lain akan mengikuti PdP di rumah.

Pentadbir perlu mengambil tindakan berikut bagi melancarkan pelaksanaan PdP:

  • mengadakan mesyuarat penyelarasan pelaksanaan PdP;
  • menyusun jadual PdP dengan mengambil kira bilangan kelas yang beroperasi dan kesediaan guru serta murid. Guru yang tidak mengajar kelas peperiksaan turut dilibatkan;
  • melakukan semakan Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT) bagi menyusun semula perancangan PdP;
  • melaksanakan pemantauan PdP; dan
  • memberikan bimbingan secara berfokus kepada guru untuk memastikan pembelajaran dapat dilaksanakan secara berkesan.

Guru yang melaksanakan PdP di sekolah hendaklah:

  • merancang pelbagai kaedah penyampaian PdP yang bersesuaian. Kaedah PdP yang boleh diterokai adalah seperti pembelajaran teradun (Blended Learning) iaitu gabungan pengajaran bersemuka dan penggunaan teknologi secara dalam talian;
  • merancang dan melaksanakan aktiviti PdP yang akur kepada keperluan penjarakan sosial;
  • memastikan semua PdP yang dilaksanakan tidak melibatkan aktiviti luar bilik darjah; dan
  • memastikan semua aktiviti sukan dan kokurikulum secara bersemuka tidak dilaksanakan sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan.

Guru yang melaksanakan PdP di rumah hendaklah:

  • mempelbagaikan kaedah penyampaian PdP mengikut kreativiti masing-masing berdasarkan kesesuaian setempat;
  • menggunakan kaedah PdP yang bersesuaian seperti pembelajaran dalam talian, TV pendidikan, radio atau media sosial bagi murid yang bersedia untuk mengikuti kaedah pembelajaran tersebut;
  • mengambil kira capaian Internet, pemilikan serta keupayaan penggunaan alat peranti dan kesediaan  murid untuk melaksanakan PdP secara dalam talian;
  • memberi latihan dalam buku teks, buku kerja atau disediakan sendiri oleh guru bagi murid yang tidak mempunyai akses Internet;
  • melaksanakan Pembelajaran Berasaskan Projek dengan menggunakan sumber yang mudah didapati oleh murid sekiranya bersesuaian;
  • menggunakan kaedah serahan bahan PdP di sekolah. Bahan tersebut dimasukkan dalam kotak serahan yang diletakkan dalam pondok keselamatan untuk penyerahan dan pengambilan bahan oleh guru dan ibu bapa/penjaga mengikut jadual yang ditetapkan;
  • melaksanakan pentaksiran bilik darjah berdasarkan hasil kerja murid seperti latihan, kuiz dan lain lain yang boleh dikemukakan secara dalam talian atau serahan tangan; dan
  • melaksanakan pentaksiran bilik darjah apabila sesi persekolahan bermula bagi murid yang tidak dapat menyerahkan tugasan mereka secara dalam talian atau serahan tangan. 

Post a Comment

Previous Post Next Post