PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan untuk membatalkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun 2020.

Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata keputusan tersebut akan terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.

Kata Dr Mohd Radzi, sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM juga disarankan untuk turut mengikuti keputusan ini.

“Pembatalan UPSR tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid setelah mengikuti pendidikan peringkat rendah kerana penilaian boleh dilakukan dengan pelbagai kaedah lain.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Menteri Pendidikan yang berlangsung dari Putrajaya pada Rabu.

[Video] Sidang Media Khas YB Senator Dr. Mohd Radzi bin Md Jidin, Menteri.

“Memandangkan keputusan UPSR dijadikan satu daripada kriteria pemilihan untuk kemasukan ke sekolah berasrama penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Maktab Tentera Diraja (MTD), KPM akan memperkenalkan kaedah baharu bagi tujuan ini yang tidak hanya tertumpu kepada prestasi akademik semata-mata.

“Pembatalan PT3 tidak akan menjejaskan penilaian tahap penguasaan murid di peringkat menengah rendah. Satu kaedah baharu akan diperkenalkan. Keputusan yang diperoleh dari kaedah ini akan dijadikan satu daripada kriteria pemilihan untuk kemasukan ke sekolah-sekolah khusus seperti sekolah berasrama penuh dan sekolah teknik,” katanya dalam sidang media pada Rabu.

Walaupun kedua-dua peperiksaan awam tersebut dibatalkan, beliau berkata KPM akan memastikan akses murid kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP) tetap diberikan keutamaan.

“KPM ingin menegaskan bahawa pembukaan semula sesi persekolahan selepas PKP adalah tertakluk kepada perkembangan semasa dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.

“Sebarang perubahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa setelah mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan murid,” tambahnya.

Sumber artikel : Astro Awani

Post a Comment

Previous Post Next Post